Sejarah Kewujudan Negeri Perlis


Pendudukan Siam Ke Atas Kedah

Setelah kemangkatan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, Kedah mula dibayangi sengketa yang dicetuskan oleh pihak Siam. Pihak Siam telah menyerang dan menduduki Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya pada tahun 1821. Walau bagaimanapun, kerajaan Siam menghadapi kesukaran memerintah memandangkan sikap rakyat di negeri ini yang masih kukuh berpegang teguh kepada institusi kesultanan Negeri Kedah.

Tindakan kekejaman oleh Siam ke atas penduduk di sini seperti menyiksa, membakar rumah dan bahan makanan serta merampas harta benda akhirnya mencetuskan satu tindakan serangan balas secara besar-besaran yang didokongi oleh angkatan sukarelawan yang hadir dari seluruh pelusuk negeri-negeri Islam di nusantara. Serangan ini diketuai oleh Tengku Muhammad Akib, Datuk Wan Mohamad Ali dan seorang ulama terkenal dari tanah Palembang, Assyahid Syeikh Abdul Samad Palembang pada tahun 1838. Angkatan tentera ini telah mara hingga ke Pattani, Hat Yai dan Singgora, tetapi akhirnya diundurkan oleh Siam dengan bantuan Inggeris yang bersikap talam dua muka ketika itu.

Sikap Kompromi Siam - Kewujudan Negeri Perlis

Walau bagaimanapun, perkembangan ini memaksa Siam memikirkan tindakan berkompromi dalam hal pentadbiran Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya. Raja Besar Siam, Raja Nag Klau (Rama III), akhirnya memanggil pulang gabenor Siam di Alor Ganu, Kedah yang dilantik menguasi Negeri Kedah dan menggantikan kuasa mentadbir Negeri Kedah serta jajahannya kepada pembesar-pembesar tempatan pada penghujung tahun 1839. Perlantikan ini dilaksanakan setelah Negeri Kedah dan jajahannya dibahagikan kepada empat buah negeri berasingan iaitu Perlis, Setul, Kubang Pasu dan Kedah. Keempat-empat negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran gabenor masing-masing.

Bagi Negeri Perlis, Raja Long Krok (Paduka Seri Maharaja Lela) dilantik sebagai gabenor, manakala Syed Hussin Jamalullail sebagai timbalan beliau. Detik ini merupakan detik bersejarah bagi Negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status jajahan kepada status sebuah negeri.

Pada saat ini, Perlis mendapat identiti sebagai sebuah unit politik yang tersendiri, mempunyai gabenor dan diberi mandat mentadbir negeri sendiri oleh pihak Siam.


Institusi Beraja Negeri Perlis

Empat bulan setelah itu, Raja Long Krok meninggal dunia, Tuan Syed Hussin Jamalullail dilantik oleh pihak Siam ke jawatan Gabenor Negeri Perlis menggantikan Raja Long Krok.

Pada Tahun 1843, Tuan Syed Hussin telah dilantik menjadi Raja Negeri Perlis. Detik pengiktirafan ini bermula apabila Raja Siam menjemput gabenor-gabenor Negeri Perlis, Setul, Kubang Pasu dan Kedah untuk upacara penganugerahan darjat.

Dalam majlis menghadap, Raja Siam telah dengan sukacitanya menaikkan status sebagai "Raja" kepada gabenor-gabenor Negeri Perlis, Setul dan Kubang Pasu. Manakala gabenor Negeri Kedah dinaikkan taraf kepada status "Sultan".



Ufti "Bunga Emas Dan Perak"

Pihak Siam menetapkan kadar dan syarat-syarat yang berhubung dengan persembahan "Bunga Emas dan Perak" oleh negeri-negeri tersebut. Dengan itu, negeri-negeri tersebut secara rasmi berada di bawah naungan Kerajaan Siam.

Keturunan Jamalullail Di Atas Takhta

Pekembangan ini memberi erti yang besar kepada Raja Syed Hussin Jamalullail memandangkan tarafnya sebagai Penghulu Mukim Arau yang diwarisi oleh ayahandanya Syed Harun Jamalullail, telah dinaikkan taraf menjadi gabenor dan seterusnya dilantik sebagai Raja bagi Negeri Perlis yang baru itu. Bermula dari sinilah, keturunan Jamalullail mewarisi takhta beraja Negeri Perlis hingga ke saat ini.

Website DiRaja Perlis
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 ulasan :

  1. Gabenor ngeri kedah di lantik kepada Sultan. jadi sultan kedah sekarang adakah sultan yang asal atau sultan bukan dari darah sultan?

    BalasPadam

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG MZONLINE MEMBUATKAN HIDUP ANDA SENTIASA PERCUMA. TINGGALKAN KOMEN JIKA ANDA TIDAK BERPUAS HATI DENGAN BLOG MZONLINE INI ATAU ADA KESILAPAN YANG TIDAK DIINGINI SERTA LIKE DAN FOLLOW SAYA OKEY ^_^